Kategori Berita Utama

UMNO masih relevan takkan berakhir walaupun tewas

14 JUN : UMNO masih relevan sebagai parti bangsa Melayu dan ia tidak akan berakhir walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Yakin akan perkara itu Bekas Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin berkata UMNO kalah disebabkan strategi Pakatan Harapan yang menggunakan isu nasional, populis dan kejayaan gabungan itu mengambarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam keadaan yang teruk sehingga meyakinkan rakyat untuk menolak UMNO.

“PH sentiasa memainkan isu Najib, isu populis, penipuan dan berita tidak benar seolah-olah semua salah kerajaan. Misalnya harga minyak, kenaikan kos sara hidup, Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya dipetik media.

Pilihan raya 9 Mei lepas menyaksikan kekalahan BN yang menjadi parti pemerintah di Malaysia sejak 1963 dan Tanah Melayu sejak penubuhannya pada 1957.

Khaled sendiri tewas di Parlimen Pasir Gudang dengan majoriti 24,726 undi ditangan calon PH, Hassan Karim dan juga di DUN Permas dengan majoriti 8,746 undi di tangan calon PH, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh.

Selain itu juga Khaled turut berkata antara punca kekalahan UMNO pada PRU lalu juga adalah kerana rakyat percaya dengan hasutan Pakatan Harapan yang mendakwa kerajaan telah menyalahgunakan kuasa.

Dalam pada itu Khaled turut berkata UMNO harus kekal sebagai parti Melayu dan tidak perlu dibuka kepada kaum lain.

Jelasnya walaupun parti itu berasaskan orang Melayu tetapi tidak bermakna ia tidak memberi manfaat kepada kaum lain.

“Kami melakukannya selama 60 tahun lalu. Apa yang boleh dilakukan UMNO sekarang ialah membuka lebih banyak kelab penyokong UMNO untuk ahli bukan Melayu dan membenarkan mereka menyokong di bawah sepanduk yang sama masa pada pilihan raya,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Khaled berkata UMNO dibentuk untuk memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan ia bukan perkauman kerana kaum lain juga mempunyai organisasi untuk memperjuangkan kepentingan mereka.

“Tetapi apabila UMNO  membentuk kerajaan bersama dengan komponen BN yang lain, berlaku proses bagi mengimbangi keperluan orang lain, bukan hanya orang Melayu.

“UMNO parti yang mewakili orang Melayu harus diteruskan kerana keperluan dan cabaran dihadapi orang Melayu berbeza dengan kaum lain.

“UMNO juga tidak hanya bercakap untuk orang Melayu sahaja, kita akan melakukan ‘semak dan imbang’ kepada kerajaan baru ini,” katanya.

Bagaimanapun dalam keadaan ini jelasnya UMNO perlu berubah dan ahli perlu menyertai parti itu kerana mahu berkhidmat kepada rakyat, bukannya untuk jawatan atau perniagaan, jika mahu mengembalikan kepercayaan orang ramai.

“Kita perlu pastikan UMNO adalah parti yang mempunyai nilai. Selepas bertahun-tahun menjadi parti kerajaan kita lihat UMNO tidak mempunyai nilai lagi dengan isu rasuah, tidak bercakap benar. Kita perlu bawa semula nilai-nilai ini,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 14 June 2018 4:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: