Kategori Berita Utama

UMNO Melaka cadang 3 nama isi jawatan kanan parti

19 MEI: Kepimpinan UMNO Melaka mencadangkan tiga jawatan tertinggi parti iaitu presiden, timbalan presiden dan satu daripada tiga jawatan naib presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

Ketua Bahagian Bukit Katil, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata pimpinan negeri turut mencadangkan tiga nama bagi mengisi jawatan itu iaitu Datuk Seri Zahid Hamidi bagi jawatan presiden, manakala Datuk Seri Hishammuddin Hussein (timbalan presiden) dan Khairy Jamaluddin (naib presiden).

Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) dan Khairy Jamaluddin (kanan)

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata jawatan lain bebas untuk dipertandingkan selain menggalakkan muka baharu di peringkat cawangan dan bahagian.

“Oleh kerana kita nak parti kembali kuat, UMNO negeri tidak mahu pertandingan bagi jawatan presiden, timbalan presiden dan satu jawatan naib presiden.

“Ahli parti perlu memberi sokongan kuat kepada mereka bertiga kerana dalam keadaan mencabar ini, parti perlu ada nakhoda supaya boleh bergerak ke depan dan dipulihkan,” katanya di Menara Dato’ Onn, ibu kota hari ini.

Ketika ini, Zahid dan Hishammuddin memangku jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti, manakala Khairy masih lagi Ketua Pemuda UMNO dan BN.

Terdahulu, Ali hadir ke ibu pejabat UMNO itu bersama pimpinan UMNO negeri, antaranya Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Dr Idris Haron dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ali berkata, pimpinan UMNO Melaka bertemu dengan Zahid, Hishammuddin dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi membincangkan perjalanan mesyuarat peringkat cawangan bermula hari ini.

“Kami harap lebih ramai generasi muda menyertai barisan kepemimpinan sama ada di peringkat sayap atau cawangan bagi menyuburkan lagi parti.

“Kita perlu membuka pintu kepada pimpinan baharu yang berwibawa, ikhlas, setia, jujur dan sentiasa berjuang untuk parti,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 19 May 2018 2:32 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: