Kategori Berita Utama

UMNO perlu kukuhkan parti untuk masa depan

13 JUN: UMNO perlu mengukuhkan parti untuk masa depan, bukannya sedih akan keputusan BN Sarawak yang meninggalkan parti.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid parti itu masih mempunyai ramai ahli yang setia pada UMNO sekaligus semua pihak harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh BN Sarawak tersebut.

“Mereka ada hak untuk menubuhkan blok sendiri. Hakikatnya, kita kena terima bahawa sebuah parti yang selama ini telah berkhidmat kepada rakyat dalam semua bidang, telah ditolak oleh rakyat di bawah atas faktor-faktor tertentu.

“Mereka positif tentang perkara itu jadi kita relakanlah. Keputusan mereka perlu dihormati dan dalam masa sama, kita berusahalah sehabis baik untuk mengukuhkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Badan Perhubungan UMNO negeri di sebuah Hotel The Jerai semalam.

Hadir sama bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Tan Sri Osman Aroff serta Setiausaha Perhubungan UMNO negeri, Datuk Md. Rozai Shafian.

Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri enggan mengulas ketika ditanya mengenai desas-desus mengatakan yang beliau akan kembali memimpin UMNO negeri bagi menggantikan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dalam masa terdekat.

“Perkara itu saya serahkan kepada pucuk pimpinan selepas pemilihan parti nanti. Setakat ini perkara itu masih kekal sebagai desas-desus dan sebaiknya kita tunggu saja selepas pemilihan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, UMNO tidak boleh lagi bertindak selaku parti yang menjaga kebajikan semata-mata sebaliknya perlu mempelbagaikan usaha bagi menarik keyakinan rakyat kepada parti itu.

“Kalau kita ingat dengan sekadar menghulurkan bantuan, berbuat kebajikan akan dapat menarik hati rakyat seperti dulu-dulu, kita telah silap. Akhirnya pilihan raya umum lalu membuktikan betapa kita dikalahkan oleh teknologi maklumat terutamanya yang sampai menerusi gajet seperti telefon-telefon pintar.

“Bererti kita tidak boleh hanya tumpu kepada kebajikan semata-mata sebaliknya perlu menguasai semua bidang untuk memenangi hati rakyat,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 13 June 2018 1:20 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: