Kategori Berita Utama

Usaha berstruktur jernih kekeliruan ahli UMNO

3 OGOS : Dua Naib Presiden UMNO merangka usaha berstruktur untuk menjernihkan suasana dan kekeliruan dalam kalangan anggota parti berikutan rombakan Kabinet, Selasa lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata beliau telah berbincang dengan Datuk dua naibSeri Hishammuddin Hussein berkenaan langkah-langkah yang harus dilaksanakan bagi memberikan penjelasan di semua peringkat.

“Penjelasan termasuklah berkaitan komitmen Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk meneruskan perjuangan memartabatkan parti walaupun tidak disenaraikan dalam jemaah menteri yang baharu diumumkan Selasa lepas.

“Selain berbincang tentang bagaimana UMNO harus disatukan di semua peringkat, kami selaku naib presiden parti juga membincangkan bagaimanakah langkah-langkah yang harus diambil bagi menjelaskan kedudukan sebenar supaya apa yang telah dilontarkan oleh Tan Sri Muhyiddin dapat dihormati oleh semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, di pejabatnya di Putrajaya, Isnin.

Pada rombakan Kabinet Selasa lepas, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri bagi menggantikan Muhyiddin yang digugurkan daripada barisan kabinet.

Muhyiddin antara lain menyatakan menerima secara terbuka keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk tidak menyenaraikannya dalam Kabinet baharu, malah komited menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Presiden UMNO dan membantu Najib selaku Presiden memperkukuhkan parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

“Yang penting, setiap anggota parti harus dijelaskan mengenai pendirian Muhyiddin yang telah berjanji untuk melaksanakan apa yang beliau katakan walaupun sebenarnya tidak ada faktor yang boleh menyekatnya untuk memberikan pendapat,” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid berkata beliau dan Hishammuddin sepakat agar langkah itu harus dilaksanakan segera bagi menghindarkan unsur-unsur luar yang mempengaruhi segala permasalahan yang dirasakan wujud dalam kalangan kepimpinan parti.

“Biarpun akan mengambil masa, kami yakin usaha berstruktur berdasarkan ‘story board’ yang dirancang untuk digunakan semua kepimpinan parti yang lain dapat menjernihkan suasana dan situasi yang agak mengelirukan di bawah walaupun pada keseluruhannya ahli-ahli parti tetap bersama dengan kepimpinan utama parti dan kerajaan,” katanya.

Mengenai kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan, Ahmad Zahid berkata pengalaman beliau bersama Hishammuddin mengetuai kedua-dua kementerian memudahkan mereka melaksanakan perancangan yang dibuat.

“Kami mempunyai jalinan kolobarasi melalui kerjasama strategi lautan biru sejak sekian lama jadi kebersamaan dalam pelaksanaan tugas tidak akan bertindih,” katanya.

Kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan tertutup hampir dua jam sejurus ketibaan Hishammuddin pada 12.45 tengah hari, kunjungan sulung seorang menteri Kabinet sejak Ahmad Zahid diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ahmad Zahid secara rasmi memasuki pejabat Timbalan Perdana Menteri di Perdana Putra hari ini. – Bernama

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 3 August 2015 7:57 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: