Kategori Berita Utama

Usaha Tun Razak 1958 ditransformasi kepada FELDA 2.0

2 FEB: Sempena pelancaran aspirasi FELDA 2.0 di Felda Lurah Bilut yang akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Ahad ini, beberapa program telah disusun bermula 3 Februari ini.

Pada hari Sabtu program dimulakan dengan Lembah Digital Bilut International 2018 (Run & MTB) yang akan dirasmikan Ahli Parlimen Bentong merangkap Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad di hadapan kedai Serbaneka D’Mart yang menjadi tarikan di FELDA Bilut pada Preview FELDA 2.0 di FELDA Lurah Bilut Bentong Pahang yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad

Program tersebut akan dimulakan pada jam 6.30 pagi dengan  taklimat kepada peserta sambil menunggu ketibaan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad dan Tiong Lai sendiri.

Selepas ucapan perasmian para peserta akan dilepaskan pada jam 8 pagi dan dijangka tamat pada jam 10 pagi.

Selain cabutan bertuah, beberapa program lain turut disusun antaranya pameran dan jualan makanan di Dataran Niaga sehingga waktu malam.

Program kemudiannya disambung pada Ahad iaitu program kemuncak, dimana ia dimulakan dengan sesi lawatan oleh Najib  ke Titian Tun Razak, Lembah Digital Bilut Co-Working dan Mural Gergasi.

Dijangka turut hadir memeriahkan program tersebut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Razali Ibrahim.

FELDA Lurah Bilut dipilih sebagai lokasi projek perintis itu kerana ia adalah tanah rancangan pertama dibangunkan pada 1958 oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

Tan Sri Shahrir Samad melawat salah satu tempat menarik yang ada di Bilut pada Preview FELDA 2.0 di FELDA Lurah Bilut Bentong Pahang

Lokasi FELDA Lurah Bilut juga strategik dengan tempoh pejalanan kira-kira satu jam dari ibu negara, selain 16 kilometer dari bandar Bentong, yang akan menjadi sebahagian daripada lokasi stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menerusi projek perintis di bawah inisiatif FELDA 2.0 itu juga, FELDA Lurah Bilut akan menjadi tanah rancangan pertama menjadi bandar pintar, dengan sasaran meletakkan penempatan itu di dalam peta digital.

Daripada hasil itu, kira-kira 6,000 penduduk FELDA Lurah Bilut, bakal menikmati taraf kehidupan sama seperti di bandar menerusi pelaksanaan projek tersebut.

Projek yang dijangka mengambil masa lima tahun itu bukan saja membolehkan penduduk menggunakan Internet berkelajuan tinggi, malah membuka peluang ekonomi, khususnya dalam aspek usahawan digital, pertanian moden serta ekopelancongan kepada penduduk setempat.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 2 February 2018 6:24 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: