Kategori Berita Utama

UTC produk luar biasa negara

17 MEI: Pusat Transformasi Bandar (UTC) adalah produk luar biasa hasil daripada usaha kerajaan sejak lima tahun lalu untuk meningkatkan  tahap perkhidmatannya kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat Malaysia harus berbangga kerana kerjaan negara lain tidak mampu meletakkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung.

“UTC produk bertaraf dunia, satu usaha inovatif dan kreatif dan kita melakukan transformasi dalam kecekapan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Mana ada negara di dunia ini yang boleh melakukan seperti Malaysia di mana jabatan, agensi kerajaan yang berlainan diletakkan di bawah satu bumbung,” kata Zahid ketika berucap di Majlis Penghargaan Pengurusan UTC, Putrajaya, pada Rabu.

Menurut Zahid, idea perkhidmatan itu dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menginginkan satu transformasi dilakukan terhadap kementerian, jabatan, agensi kerajaan untuk masyarakat.

Sebagai antara individu yang terbabit dalam mewujudkan perkhidmatan itu, Zahid menjelaskan bukan satu perkara mudah untuk memulakannya.

“Pertama, tidak mudah untuk mengumpulkan pihak kerajaan dan swasta di bawah satu bumbung, selain kekangan bajet dan penempatan pegawai.

“Kerajaan juga melihat bagaimana untuk menggunakan sepenuhnya bangunan kerajaan yang berstatus gajah putih, serta tempoh masa yang diberikan untuk menyiapkan projek UTC ini dan mereka ternyata sempat melakukannya,” katanya lagi.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz, Pengerusi Lembaga Pengarah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd Ali Rustam dan Pengarah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

UTC merupakan inisiatif di bawah Strategi Lautan Biru (NBOS) yang diwujudkan pada Jun 2012 di beberapa  bandar utama seluruh negara.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 17 May 2017 10:53 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: