Kategori Berita Utama

Walau 23 hari hampa Australia jamin misi SAR MH370 tiada had masa

31 MAC: Masuk hari ke 23 pesawat MH370 Penerbangan Malaysia (MAS) hilang, anggota pasukan misi mencari dan menyelamat (SA) masih kehampaan apabila beberapa objek yang dikutip oleh kapal HMAS Success dan Haixun 01 pada Sabtu yang telah diperiksa dipercayai tiada kaitan dengan pesawat yang hilang sejak 8 Mac lalu itu.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA), objek berkenaan yang diperiksa di atas kedua-dua kapal terbabit dinyatakan sebagai peralatan menangkap ikan dan buangan terapung.

Menurut AMSA, pesawat udara yang meninjau di kawasan pencarian terus melaporkan penemuan objek serupa seperti yang dilapor sebelum ini.

Objek yang dikesan oleh satelit atau pesawat udara tidak dapat disahkan atau dianggap sebagai serpihan dari pesawat MH370 sehinggalah ia ditemui oleh kapal-kapal laut di kawasan pencarian dan diambil untuk dianalisa.

Namun setakat ini, dalam banyak-banyak objek yang telah ditemui, tiada yang disahkan daripada MH370.

PM Australia Tony Abbott menemui anggota TUDM sebelum mereka berlepas dengan pesawat C-130 ke lokasi carian MH370 pada pagi Isnin.

PM Australia Tony Abbott menemui anggota TUDM sebelum mereka berlepas dengan pesawat C-130 ke lokasi carian MH370 pada pagi Isnin.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Australia, Tony Abbott berkata, tiada had masa ditetapkan dalam usaha mencari MH370 yang kini sudah berlarutan lebih tiga minggu.

“Kita akan terus mencari walaupun ia memerlukan masa yang panjang. Malah, usaha mencari secara intensif semakin ditingkatkan, bukannya berkurangan,” katanya kepada wartawan di Pangkalan Udara Pearce di Perth.

Hari ini 10 pesawat, termasuk dua C-130 Hercules Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) serta 10 kapal laut terbabit dalam usaha mencari MH370 yang disambung di perairan selatan Lautan Hindi.

Dua pesawat TUDM itu berlepas ke Lautan Hindi dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce, di Perth ke kawasan carian MH370 jam 9.45 pagi ini.

Sebuah daripada pesawat TUDM berkenaan diberi penghormatan untuk melepaskan boya di kawasan pencarian bagi mengukur kederasan arus di kawasan itu.

Malah sebelum itu Abbott juga sempat menemui pegawai dan anggota TUDM sebelum mereka berlepas.

Menurut AMSA, aktiviti pencarian hari ini meliputi kawasan seluas 252,000 kilometer persegi.

C-130 TUDM_MH370Pesawat lain yang terbabit ialah antaranya, dua pesawat P3 Orion Tentera Udara Diraja Australia (RAAF), sebuah pesawat P3 Orion Jepun, pesawat Ilyushin China, sebuah pesawat P3 Orion Tentera Laut Korea Selatan, sebuah pesawat P8 Poseidon Tentera Laut Amerika Syarikat, dan dua pesawat awam.

Sementara itu, 10 kapal terbabit dalam operasi mencari hari ini termasuk HMAS Success dan kapal perang Australia HMAS Toowoomba, tujuh kapal China dan sebuah kapal dagang – jumlah terbesar yang pernah menyertai operasi SAR setakat ini.

Kapal ADV Ocean Shield yang membawa alat pengesan kotak hitam dan kenderaan dasar laut dijadual berlepas dari Perth hari ini dan dijangka tiba di kawasan pencarian dalam tempoh tiga hari.

Menurut kenyataan itu, cuaca di kawasan pencarian agak baik dengan jarak penglihatan melebihi 10 kilometer.

MH370, pesawat jenis Boeing 777-200ER, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari radar 8 Mac lalu kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 12.41 tengah malam.

MH370 sepatutnya mendarat di Beijing jam 6.30 pagi hari yang sama.-bnbbc.my

MH370 31 MARCH COMPILE SAR MAP

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 March 2014 11:00 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: