Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Walaupun tak puas hati, DAP akur arahan RoS

26 OKT: Meskipun tidak berpuas hati dengan 10 syarat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), namun DAP akhirnya akur menyiarkan notis panggilan berhubung pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) di empat buah akhbar, semalam.

Akhbar tersebut adalah Sinar Harian, The Sun, China Press dan Tamil Malar.

DAP perlu mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh RoS itu bagi membolehkan parti tersebut mengadakan pemilihan semula CEC parti di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, Selangor, 12 November ini.

Menurut Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass Aseerpatham, DAP turut mewujudkan sebuah laman sesawang khas iaitu dds.dapmalaysia.org bagi mendaftarkan nama-nama perwakilan yang layak mengundi pada pemilihan semula CEC.

“Walau bagaimanapun, orang ramai tidak boleh melihat senarai nama perwakilan yang layak mengundi pada pemilihan semula CEC itu kerana DAP tidak membenarkan individu yang bukan ahli mengakses laman sesawang tersebut.

“Ahli DAP pula perlu menghantar permohonan akaun terlebih dahulu di laman sesawang tersebut dan pihak pentadbiran tertinggi parti boleh membatalkan permohonan itu jika mendapati maklumat tidak benar,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia hari ini.

Ketua Pengarah RoS, Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam surat bertarikh 21 September lalu menuntut syarikat audit yang menyelia pemilihan semula tersebut, Grant Thornton memastikan hanya calon CEC dan perwakilan yang sah seramai 2,576 dari senarai yang digunakan untuk pemilihan pada 2012 dibenarkan untuk mengambil bahagian.

Syarikat audit itu juga hendaklah menyediakan kaedah sesuai melalui laman sesawang atau portal parti untuk memaparkan senarai perwakilan yang layak mengundi dalam pemilihan semula CEC mengikut format ditetapkan untuk ahli yang sah menyemak senarai berkenaan.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 26 October 2017 9:44 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: