Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Wanita ‘pengunci stereng’ jerit Majistret, gigit polis

31 OKT: Wanita yang tular di laman sosial kerana memarahi anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sambil mengacukan ‘pengunci stereng’, dihukum penjara dua minggu kerana menghina mahkamah dengan cara menjerit dan mengingkari arahan Majistret di Petaling Jaya, semalam.

Majistret Nurulhuda Zakariya menjatuhi hukuman itu terhadap Liew Yoke Peng, 43, seorang akauntan, setelah dia didapati bersalah menghina mahkamah dengan menjerit dan mengingkari arahan Nurulhuda supaya senyap ketika prosiding mahkamah sedang berlangsung.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini. Dia kemudiannya dibawa ke Penjara Kajang.

Yoke Peng melakukan kesalahan itu di dalam bilik bicara Mahkamah Majistret 2, di sini pada 11.35 pagi, Isnin mengikut Perkara 26 Jadual Ketiga (Seksyen 99A) Akta Mahkamah Rendah 1947 yang membawa hukuman denda maksimum RM150 atau penjara maksimum tiga minggu.

Kesalahan itu dilakukan semasa prosiding kesnya berhubung kejadian memarahi seorang penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di sebuah kawasan parkir di Bandar Puteri Puchong.

Semasa prosiding itu, Yoke Peng telah meninggikan suaranya terhadap Nurulhuda dan seolah-olah berlawan cakap dengannya sehingga dia terpaksa ditenangkan oleh anggota polis.

Berang dengan tindakan polis itu, wanita berkenaan bertindak menggigit tangan seorang anggota polis wanita sehingga luka dan tercabut butang pakaian seragamnya di bahagian lengan.

Mahkamah kemudiannya terpaksa menangguhkan prosiding kesnya ke sesi petang kerana wanita itu tidak dapat dikawal.

Sebelum menjatuhi hukuman, Nurulhuda menasihati tertuduh supaya bersikap profesional dan mematuhi peraturan di dalam mahkamah.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 31 October 2017 10:18 am





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: