Kategori Berita Utama

Wanita UMNO tak gentar bertanding tempat Kit Siang, Izzah

6 DIS: Wanita UMNO tidak gentar menerima cabaran walaupun bertanding di tempat Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

“Kita orang politik sedia terima cabaran, kalau tempat Kit Siang ke Izzah bertanding wanita sedia bertanding  kita tidak takut, orang politik nak menang mesti berani, kita sedikitpun tidak takut,” kata Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.

Bagaimanapun Shahrizat berkata sayap itu akan menolak jika mereka hanya dicalon bertanding sekadar untuk menjadi ‘kambing hitam’.

Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abd Jalil pada Perhimpunan Agung UMNO ke-71 di PWTC

“Saya tidak mahu bila kawasan dah tahu hitam (boleh kalah) nak hantar wanita jadi kambing hitam itu saya tidak mahu,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada sayap itu sedia berdepan Kit Siang atau Izzah pada pilihan raya akan datang ketika sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Rabu.

Soalan itu muncul apabila Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam majlis penutupan Persidangan Antarabangsa Wanita Dalam Politik 2017 pada Isnin berharap Shahrizat diberikan jawatan “teramat penting” selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Perdana Menteri bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut bentuk jawatan yang dimaksudkannya.

Kenyataan itu seakan memberi bayangan Shahrizat akan kembali bertanding pada PRU14.

Untuk rekod, Shahrizat gagal mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU12, apabila tewas kepada calon PKR, Nurul Izzah Anwar dengan majoriti 2,895 undi.

Beliau mendapat 18,833 undi, manakala anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim itu meraih 21,728 undi.

Calon bebas, Periasamy Nagarathnam sekadar memperoleh 489 undi.

Susulan kekalahan itu, Shahrizat tidak bertanding pada PRU13.

Mengulas lanjut, Shahrizat turut membuat kritikan kepada Izzah kerana gagal berkhidmat untuk rakyat sejak memenangi kerusi Parlimen Lembah Pantai pada 2008.

“Saya dengar ramai calon pembangkang nak lari dari tempat mereka, tidak tahu betul atau tidak, macam Izzah di Lembah Pantai, rakyat buat aduan beliau tidak berkhidmat untuk rakyat,

“Saya dengar juga beliau tidak mahu bertanding di Lembah Pantai, baik beri pada Nong Chik (Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin) yang menjalankan tugas wakil rakyat. Ramai calon pembangkang cakap retorik sahaja, tengok banjir Guan Eng boleh menangis, pembangkang hanya cakap sahaja, ada bencana lari, telefon siapa ? Permimpin BN juga,” katanya.

Share This:




Berita Bertarikh pada 6 December 2017 5:02 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]