Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Warga asing pulang beraya, kaunter imigresen KLIA sesak

24 JUN: Kaunter imigresen di balai berlepas antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengalami kesesakan pagi tadi berikutan peningkatan penumpang sempena cuti Aidilfitri.

Terdahulu hari ini, gambar dan video menunjukkan kesesakan teruk dan penumpang beratur panjang kira-kira 100 meter menjadi viral menerusi aplikasi WhatsApp.

Kesesakan berkenaan turut menyebabkan sebahagian penumpang merayu untuk memotong barisan memandangkan penerbangan mereka hampir berlepas.

Pihak Jabatan Imigresen juga membenarkan penumpang yang memiliki tiket yang hampir berlepas untuk memotong barisan.

Bagaimanapun, difahamkan tiada penumpang yang terlepas menaiki pesawat.

Jurucakap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), berkata kesesakan bermula sejak awal pagi tetapi tindakan pantas kakitangan MAHB dan pihak imigresen membuka semua kaunter pelepasan berjaya memulihkan keadaan menjelang tengah hari.

Jurucakap MAHB berkata, kesesakan yang berlaku itu memang sudah dijangkakan, sekali gus memudahkan usaha mengawal keadaan sehingga pulih seperti sedia kala.

“Kami sudah menjangkakan akan berlaku sedikit kesesakan berikutan orang ramai mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung pada saat akhir.

“Kami sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak imigresen lebih awal dan mereka mengambil langkah memastikan semua semua kaunter di bahagian pelepasan beroperasi sepenuhnya bagi menghadapi situasi berkenaan,” katanya.

Jurucakap itu berkata, MAHB turut menambah jumlah kakitangannya yang bertugas bagi menguruskan peningkatan penumpang di KLIA sempena cuti musim perayaan ini.

“Malah, kita sudah memaklumkan kepada penumpang supaya datang awal sekurang-kurangnya tiga jam sebelum berlepas bagi membolehkan urusan pendaftaran masuk dan bagasi serta pemeriksaan keselamatan dibuat awal supaya tidak terlepas penerbangan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 24 June 2017 9:16 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: