Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Warga Bangladeah dalang sindiket bawa masuk PATI ditahan

5 JAN: Dua lelaki warga Bangladesh, termasuk seorang yang bergelar ‘Harun 2.0’, ditahan semalam kerana disyaki terbabit dalam sindiket membawa pekerja asing secara haram ke negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Mustafar Ali, berkata kedua-dua suspek ditahan selepas pasukan Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan Imigresen, menyerbu sebuah premis di Pandan Indah, Ampang di Selangor.

Beliau berkata, suspek berusia lewat 30-an itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan dengan berselindung di sebalik perniagaan dalam sektor pembinaan, import eksport dan perniagaan am.

“Bertindak atas maklumat orang awam, kita berjaya menumpaskan sindiket membawa pekerja asing secara tidak sah yang berselindung di sebalik syarikat perniagaan yang diusahakan mereka bersama warga tempatan.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan, kita menemui sebanyak 258 pasport Bangladesh, dua pasport Indonesia, 26 keping E-Kad dan 11 cop getah kedutaan asing disyaki palsu yang digunakan suspek dalam menjalankan sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan NTL Holding Lounge Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Turut hadir, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Badlisham Ghazali.

Mustafar berkata, pihaknya juga menemui pelbagai dokumen lain seperti buku resit pembayaran dan wang tunai sebanyak RM1,600 dalam serbuan itu.

Imigresen turut merampas sebuah komputer yang digunakan untuk membuat permohonan pekerja asing dan memalsukan kelulusan pekerja asing.

Sindiket terbabit juga menawarkan perkhidmatan permohonan baharu dan lanjutan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) kepada majikan yang berurusan dengan mereka pada kadar bayaran tertentu.

“Siasatan lanjut mendapati sindiket itu turut menguruskan pasport dari Bangladesh dan menguruskan kemasukan warga Bangladesh melalui jalan tikus bagi mendapatkan PLKS dengan menggunakan cop kedutaan asing disyaki palsu.

“Tangkapan ini membawa kepada penemuan rangkaian tertentu, termasuk pembabitan warga tempatan yang disyaki bersekongkol dalam kegiatan ini.

“Imigresen akan memburu setiap pemilik pasport yang ditemui dalam serbuan itu untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini, dalam tangkapan secara berasingan dari 9 hingga 23 Mac tahun lalu, Imigresen menahan lapan warga asing kerana terbabit dengan kegiatan pemalsuan dokumen, didalangi seorang warga Myanmar dikenali sebagai `Dr Harun’, yang sudah lama menetap di negara ini

Sementara itu, NTL Holding Lounge yang merangkumi ruangan menunggu baharu bagi menempatkan individu yang dikenakan Notis Penolakan Masuk (NTL) di KLIA, dikendalikan Mono Circle Sdn Bhd.

Ia boleh memuatkan kira-kira 150 hingga 200 orang pada satu masa, menjadikannya lebih selesa, selain dilengkapi pelbagai kemudahan.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 5 January 2018 9:03 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: