Kategori Berita Utama

Zahid gesa rakyat tolak pembangkang bawa kebinasaan

11 FEB: Rakyat diminta menolak pembangkang yang lebih membawa kebinasaan berbanding kebaikan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tiada pembangunan dapat dilaksanakan dengan kehadiran pembangkang yang sentiasa bersikap negatif.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, keadaan itu berbeza dengan pembangkang luar negara yang lebih membina terutama dalam pembangunan negara mereka.

“Pembangkang negara ini mengamalkan prinsip membangkang semua usaha kerajaan walaupun memanfaatkan rakyat.

“Memang pembangkang penting tapi perlu yang konstruktif, bukan dekstruktif atau membinasakan sehingga semua projek kerajaan untuk rakyat kita dibangkang habis-habisan.

“Budaya kebencian yang disebar dan ditanam pembangkang dan mereka yang kecewa menyusup masuk termasuk di Johor.

“Itu berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 dan ke-13 lalu tetapi kali ini kita harus menolak mereka pada PRU14. Jika ada kerusi yang kurang, kita tambah majoriti dan jika kerusi kalah, kita mesti rampas.

“Pilih wakil rakyat Barisan Nasional (BN) kerana kami bukan pemimpin bermusim seperti keluang dan tupai yang hanya datang pada musim buah.

“Perkhidmatan kami sepanjang musim, bukan hanya ketika menjelang PRU,” katanya ketika melancarkan projek pembinaan semula jalan Persekutuan Yong Peng-Segamat, Taman Tenang Jaya, di Tenang Stesen, hari ini.

Yang turut hadir, isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri merangkap Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Sementara itu, Ahmad Zahid dalam sidang medianya berkata, lawatan kerja dua harinya membolehkan beliau melihat dan memantau persediaan jentera BN Johor.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata, mahu melihat persediaan rapi supaya sentiasa bersiap-siaga dan jentera parti berada dalam keadaan kukuh.

“Antara yang dibincangkan bersama Mohamed Khaled yang juga Pengerusi Perhubungan BN Johor termasuk mengenai calon.

“Calon tempatan harus diberi keutamaan kerana pengundi lebih selesa dengan mereka. Kita tidak menolak sejumlah calon berpotensi daripada parti komponen untuk diketengahkan.

“Bagaimanapun, saya serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN untuk membuat penilaian lanjut dan pengumuman apabila semuanya selesai, ” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 11 February 2018 3:31 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: