Kategori Berita Utama

Zahid mahu semua hentikan polemik isu Robert Kuok

1 MAC: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak tidak lagi mempolemikkan isu berkaitan tokoh korporat, Robert Kuok.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Kuok juga sudah membuat penjelasan bahawa beliau menghargai setiap peluang diberikan kepadanya, selain mengiktiraf sumbangan oleh semua rakyat Malaysia kepada pembangunan negara.

“Perkara ini sudah diselesaikan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) dan beliau sudah memberitahu bukan hanya kepada rakan dalam parti komponen, malah Jemaah Menteri supaya apa yang sudah diperjelaskan oleh Robert Kuok itu diterima baik.

“Perdana Menteri juga sudah memberi penjelasan tentang isu berkenaan dalam kenyataannya dan pihak kerajaan menerima baik penjelasan itu.

“Beliau sendiri meminta agar isu ini tidak lagi dipolemikkan dan berlandaskan alasan itu, kita terima dengan cukup berlapang dada,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Saeed Qattan di pejabatnya di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Sabtu lalu, ketika berucap merasmikan Temu Duga Terbuka Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) peringkat Zon Tengah di Serdang, Perdana Menteri berkata, bantuan kerajaan membolehkan Kuok menjadi individu terkaya di Malaysia walaupun jutawan itu diakui memiliki hak tersendiri dan rajin bekerja.

Isu berkenaan timbul apabila penulis blog, Raja Petra Kamarudin, menerusi sebuah portal mendakwa Kuok mempunyai agenda mahu menggantikan pemerintahan kerajaan sedia ada dengan DAP bagi membolehkan kaum Cina menjadi pemerintah di negara ini.

Mengulas pertemuannya dengan Mahmoud Hussien, Ahmad Zahid berkata, ia bagi membincangkan program lawatan Menteri Dalam Negeri Arab Saudi, Putera Abdulaziz Saud Nayef Abdulaziz Al Saud ke negara ini pada 13 dan 14 Mac ini.

“Kita mempunyai MoU (Memorandum Persefahaman) dengan Arab Saudi dalam bidang keselamatan dan kita akan terus berkongsi pengalaman dan kepakaran Malaysia dalam deradikalisasi untuk pengganas khususnya daesh,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 March 2018 11:05 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: