Kategori Berita Utama

Zahid: Manifesto pembangkang ‘rubbish’

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan manifesto pembangkang sebagai sampah dan tidak berpijak di bumi nyata kerana hanya 15 peratus sahaja janji-janji manifesto dalam pilihan raya 2008 mampu dilaksanakan.

Menteri Dalam Negeri itu turut menasihatkan pembangkang tidak lagi menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat kerana realitinya ianya tidak mampu ditunaikan.

“Mengenai manifesto pembangkang untuk mengurangkan pekerja asing, saya ingin menyebutkan bahawa ianya tidak berpijak di bumi yang nyata kerana tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

“Hanya kira-kira 15 peratus sahaja yang telah dilontar dalam pilihan raya 2008 telah dilaksanakan…ertinya dengan kata lain manifesto pembangkang ‘rubbish’…dalam perkara ini saya fikir janganlah buat janji baru.

zahidtv

Zahid Hamidi

Menurut Zahid, apa yang penting hendaklah manifesto itu berdasarkan realiti dan berharap apa yang dilakukan oleh kerajaan dapat memuaskan hati semua pihak.

“Saya rasional dalam perkara ini sama ada memenuhi kehendak kerajaan atau pun pembangkang yang penting adalah rakyat keseluruhan mendapat faedah,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff  Ahmad sama ada cadangan pembangkang untuk mewujudkan satu juta peluang pekerjaan baru untuk rakyat Malaysia dengan cara mengurangkan satu juta pekerja asing boleh dilaksanakan jika pakatan memerintah.

Zahid sebelum itu menempelak ahli Parlimen DAP Bukit Bintang, Fong Kui Lun yang mendakwa lambakan pekerja asing telah menjadi satu ancaman keselamatan tetapi kerajaan gagal bertindak mengatasinya dan begitu juga soal rasuah.

Jelas Zahid, kadar jenayah yang dilakukan oleh pekerja asing hanya sekitar 10 hingga 15 peratus dan selebihnya merupakan jenayah yang dilakukan oleh rakyat tempatan.

“Ertinya jangan salahkan seratus peratus kepada pekerja asing…pelaku-pelaku jenayah adalah dikalangan rakyat tempatan…

drlatifftv

Dr Latiff Ahmad

Justeru itu, beliau meminta kerjasama daripada semua ahli Parlimen untuk bersama-sama  mencari jalan penyelesaian untuk membanteras jenayah dan rasuah.

“Yang berhormat harus bekerjasama dengan saya untuk pembanterasan itu…begitu juga agenda yang lebih tegas bagi menyelesaikan masalah ini bukan tugas kerajaan sahaja…ada permintaan tentu ada penawaran.

“Saya fikir kita perlu ada penyelesaian jangka panjang yang perlu dibahaskan di dalam dewan yang mulia ini dan juga agensi-agensi swasta supaya mereka juga mengakui hakikat bahawa keutamaan perlu diberikan kepada rakyat tempatan dan soal rasuah yang berlaku di dalam soal pengambilan kerja asing ini,” tegasnya.

Tambah Zahid, beliau tidak akan pernah sesekali berkompromi dengan perasuah-perasuah dan tindakan akan dilakukan dengan kadar segera sekiranya terdapat bukti kukuh termasuk terhadap pegawai-pegawai kementerian dan agensi kerajaan. -30/10/2013

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 30 October 2013 2:11 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: