Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Zakaria optimis Idris Jala mampu rungkai kemelut FGV

7 JUN: Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Datuk Zakaria Arshad, menyifatkan langkah kerajaan melantik Datuk Seri Idris Jala sebagai pihak bebas meneliti isu penggantungannya daripada jawatan itu sebagai tindakan bijak.

Beliau yang ditemui selepas memberi keterangan selama empat jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya, bermula jam 2.30 petang tadi berharap pelantikan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu mampu merungkai segala persoalan dan kemelut yang melanda FGV.

“Bagi saya, bagus cadangan (melantik) Idris, sekurang-kurang tidak adalah timbul isu berat sebelah dan tiadalah penglibatan dari pihak dalaman atau pegawai. Tak elok juga kalau dari kalangan pegawai saya.

“Kalau pegawai saya buat, nanti dia pun serba salah nak buatkan. Saya rasa elok keputusan yang bijak oleh kerajaan untuk melantik pihak ke-3,” katanya selepas soal siasat 4 jam di ibu pejabat SPRM, hari ini.

Ketika ditemui selepas pertemuan itu, Zakaria mengesahkan memberi keterangan berhubung dakwaan terhadapnya mengenai isu tunggakan bayaran syarikat Safitex kepada Delima Oil Products (DOP).

“Selain itu ada juga (kes) yang lain-lain tapi saya tidak boleh beritahu,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan supaya beliau dan Pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad sama-sama meletak jawatan, Zakaria berkata, tiada keperluan untuk beliau berbuat demikian.

“Kenapa saya harus letak jawatan? Saya tidak boleh terima cadangan itu kecuali saya salah.

“Saya tidak salah, kenapa nak letak jawatan,” katanya.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 7 June 2017 10:31 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: