Kategori Berita Utama

Zam, manusia tidak mengenang budi, kata Syed Ali

29 MEI: Wartawan veteran, Tan Sri Zainuddin Maidin sepatutnya berterima kasih kepada UMNO kerana memberi peluang kepada beliau memegang jawatan Menteri Penerangan suatu ketika dahulu.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyifatkan tindakan bekas Ahli Parlimen Merbok lebih dikenali sebagai Zam yang berterusan menyerang parti keramat itu serta kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan beliau tidak mengenang budi.

“Kerana UMNO, dia berpeluang menjawat jawatan tertinggi di akhbar arus perdana. Kerana UMNO juga, dia diberi peluang berada dalam Kabinet biarpun bukannya seorang pemimpin politik yang lahir daripada akar umbi UMNO.

“Orang Melayu biasanya sedikit-sebanyak akan tersemat di hati perasaan rendah diri dan tahu berterima kasih apatah lagi kepada parti yang pernah memberi keselesaan hidup kepadanya.

“Sikap mengungkit dan cuba memberi gambaran seolah-olah UMNO dan kerajaan yang ada hari ini tidak pernah berjasa kepada rakyat merupakan satu perbuatan yang tidak wajar,” katanya di laman blog, Ahad.

Pada Sabtu, catatan terbaru Zam diblognya, mendakwa masa depan UMNO gelap serta mengalami zaman keruntuhan.

Mengulas lanjut, Syed Ali yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, tuduhan Zam hanyalah persepsi yang sarat dengan perasaan marah terhadap parti dan pentadbiran Najib.

“Dakwaan tersebut pada hemat saya tercetus akibat sifat kecewa, sikap ego dan rasa taksub melampau terhadap individu tertentu yang perlu sentiasa dipuja atas kecemerlangannya pada suatu ketika.

“Walapun Zam mendakwa UMNO tiada masa depan, tetapi percayalah, masa depan UMNO akan terus bersinar selagi tidak dibayangi dan dicemari oleh pemimpin yang rakus, tamak dan tidak tahu mengenang budi,” tegasnya.

Katanya lagi, tidak menjadi kesalahan kepada mana-mana pihak untuk membuat perbandingan kejayaan seseorang pemimpin tetapi pandangan tersebut sepatutnya dibuat secara jujur dan tidak dipengaruhi sentimen kebencian dan rasa kecewa.

“Berdasarkan kepada tulisan Zam sebelum ini, tergambar sikap amarah dan kekecewaan bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia itu terhadap pentadbiran Najib sebaik sahaja dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2009.

“Saya menasihati Zam supaya kembali melihat kepada realiti politik hari ini yang mana golongan muda merupakan penentu kepada masa depan negara,” jelasnya.

 

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 29 May 2017 10:30 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: