Kategori Semasa/Laporan Sidang Parlimen

Zamihan kemungkinan berdepan ‘tindakan dalaman’ KDN

1 DIS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam proses mengambil tindakan “dalaman” ke atas Zamihan Mat Zin, susulan beberapa siri kenyataan penceramah agama itu yang dilihat tidak seiring dengan dasar kerajaan.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed enggan mendedahkan bentuk tindakan itu.

“KDN sedang menimbangkan beberapa tindakan dalaman kepada beliau dan tak perlu dibincangkan lagi dalam media atau awam,” katanya seperti dilaporkan FMT.

Zamihan merupakan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, yang ditugaskan KDN menjalankan program pemulihan ke atas suspek militan.

Bagaimanapun, kenyataan beliau baru-baru ini mempertikaikan dasar Putrajaya berbaik-baik dengan Arab Saudi dalam mencegah keganasan mendapat ulasan tajam Nur Jazlan, yang menyuruhnya “tutup mulut”.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji Zamihan sambil menyifatkannya sebagai aset dalam usaha kerajaan menentang ekstremisme.

Tetapi sikap kerajaan yang enggan menerima kritikannya mengenai Arab Saudi dipersoal Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin.

“Memandangkan Zahid sendiri memuji Zamihan sebagai aset utama untuk memerangi keganasan, saya percaya Zamihan mungkin mengetahui sesuatu maklumat tentang peranan Arab Saudi dengan aktiviti keganasan antarabangsa,” kata Raja Bahrin yang kerap mengkritik dasar Riyadh yang berdepan tuduhan jenayah perang atas pengebomannya di Yaman.

“Kenapa timbalan menteri ingin menutup isu ini?” soal Raja Bahrin merujuk Nur Jazlan.

Zamihan sebelum ini mempersoalkan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) kerana menganggap Arab Saudi tidak layak untuk menjalankan tanggungjawab itu.

Ia di sebalik pelbagai laporan yang mengaitkan aliran Wahabi yang diikuti agamawan Arab Saudi dengan beberapa pendirian melampau di pihak IS.

Share This:

Share



Berita Bertarikh pada 1 December 2017 12:54 pm





UTAMA PENAFIAN HUBUNGI KAMI WEBMAIL


HAK CIPTA TERPELIHARA © 2013 - 2016 BARISAN NASIONAL BACKBENCHERS COUNCIL

[ Log in ]

%d bloggers like this: